Hi guys,
Remember the essay writing competition I told you about: This is what I have submitted.
Since one of the competition’s rule is ‘belum pernah disiarkan oleh mana-mana bahan bercetak’ (must have not being published in any printed media) then I guess it is fair for me to put it here for your reading.
I have to admit, this is not purely an ‘innovation-derived’ essay but I guess with the time and space, plus with the lack of awareness in technology advancement that I possess, this is what I have decided to submit.
Yes, it is far-fetched, yes it was a squirrel. But I still hope I manage to send the message accross.
Here it goes:
—Quote—
Tajuk: Inovasi Nilai Sejarah Membangun Bangsa.
Negara ini sekali lagi dilanda musibah. Ketika kita sedang bergelut dengan krisis yang tak kunjung sudah, isu buang anak, bunuh, rogol dan ragut menjadi hiasan utama di dada-dada akhbar, pergaduhan antara figura-figura politik seakan tiada penghujungnya dan kini, bertelagah pula kerana fakta sejarah.
Tanpa mahu meletakkan kesalahan pada sesiapa, apatah lagi mencari si kambing hitam untuk dijadikan lauk akibat amarah si pengembala, tetapi sudah tiba masa kita fikirkan sejenak keadaan ini dan lihat dimana silapnya.
Timbul sahaja isu sebegini, rakan-rakan seusia mula mengeluh, tidak tahu apa yang harus dibuat. Kata-kata seperti “Dari zaman sekolah dahulu aku memang tidak minat matapelajaran Sejarah,” dan “Itu semua mainan politik sahaja,” menjadi ayat-ayat lazim untuk menyelamatkan diri daripada kejahilan untuk membezakan antara yang benar dan yang palsu.
KENALI DIRI, PERCAYA DIRI
Sejarah adalah elemen terpenting dalam kehidupan seseorang manusia untuk mengenali dirinya sendiri. Individu yang tidak kenal dirinya tidak akan tahu nilai diri serta tujuan hidupnya. Sewaktu kecil dahulu saya sering diejek kawan-kawan kerana nama datuk saya yang pelik. ‘Bandan Sahib’ bukanlah satu nama biasa untuk masyarakat Melayu, hatta hingga ke hari ini tidak pernah saya dengar mana-mana individu yang mempunyai nama demikian walau dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri.
Untuk nota, arwah datuk saya berasal negara India, beliau belayar dari sana, mendarat dan seterusnya bermastautin di Pulau Pinang, berkahwin dengan gadis tempatan lalu mempunyai 3 anak dan meninggal dunia di sana ketika ayah saya berusia 15 tahun.
Sudah tentulah sebagai seorang anak kecil, diejek dan disisihkan kawan-kawan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Sewaktu di usia remaja, rupa fizikal ala Asia Selatan menampakkan saya ‘kurang’ Melayu, maka saya diberi gelaran ‘Bangla’.
Saya hanya mula menghargai perjuangan arwah datuk saya apabila memahami perjalanannya mengubah nasib diri. Belayar meninggalkan kampung halaman buat selama-lamanya, mengharapkan hujan emas di negeri orang, bukan calang-calang orang yang mampu melakukannya.
Teknologi perkapalan yang ada pada masa itu menjadikan setiap pelayaran adalah perjalanan antara hidup dan mati. Tidak ada teknologi GPS (Global Positioning System), sistem AIS (Automatic Identification System), telefon satelit, radar-radar canggih, badan kapal berkembar (double hull) untuk mengelak risiko karam mahupun carta elektronik pelayaran yang menjadikan pelayaran hari ini amat selamat berbanding lebih separuh abad yang lalu.
Menyabung nyawa, meninggalkan tanah air tercinta, berdiri di atas kaki sendiri di tanah orang, itulah antara ciri-ciri postif milik arwah datuk saya. Kini saya tidak malu lagi. Bahkan saya sanggup pertahankan arwah datuk saya apabila diperlukan.
Saya bangga dilahirkan sebagai diri saya. Tidak kira apa yang dikatakan, tidak kira seindah mana kehidupan orang lain, saya bersyukur ke hadrat ilahi dilahirkan sebagai cucu kepada seorang pejuang. Pejuang terhadap nasib dirinya sendiri.
Pun begitu, ada sesuatu yang kurang dalam kisah datuk saya tadi, iaitu rekod terperinci, terakam dan terpelihara mengenai kisah pengembaraan beliau. Hanya sekeping gambar menjadi bukti keterikatan kami. Tidak ada catatan, tidak ada gambar-gambar lain, apatah lagi rakaman video, sebagai bukti nyata untuk menyokong kisah beliau yang hebat itu.
MASA TIDAK BISA MENIPU
Perpatah Inggeris ada mengatakan, ‘Time will tell’ bererti, ‘masa akan menceritakan/menentukan’. Persoalannya, bagaimana masa akan mampu menyatakan kebenaran tanpa disokong oleh fakta-fakta yang tidak mampu disangkal keraguannya?
Hari ini, salah satu teknologi yang berkembang pesat adalah teknologi maklumat, atau lebih glamour dikenali sebagai ‘Information Technology’ (IT). Negara kita juga menjadikan IT sebagai satu cabang ukuran kepada tahap kemajuan negara, selaras dengan standard antarabangsa.
Apabila berbicara tentang IT, yang sebenarnya dibincangkan ialah berkenaan pengembangan, penimpanan, pemeliharaan dan penggunaan ilmu pengetahuan di masa, dan tempat yang betul serta digunakan ke jalan yang positif.
Percanggahan sejarah terjadi kini akibat tidak ada sistem pemusatan informasi-informasi berkaitan sejarah. Terlalu banyak pihak mendakwa mereka mempunyai bukti sahih terhadap sesuatu perkara, yang boleh membawa kepada manipulasi untuk kebaikan sesetengah pihak sahaja.
INTERAKSI SOSIAL MEMBANGUNKAN BANGSA
Siapa yang mampu hidup sendiri di dunia ini? Dalam masa yang sama, pembangunan kendiri setiap individu juga akan banyak dipengaruhi oleh jenis pergaulan dan pihak-pihak yang berada di sekelilingnya di sepanjang proses pembesaran.
‘Kegembiraan’ sesetengah pihak menjadikan sensitiviti ciptaan dengan mengambil kesempatan terhadap kejahilan masyarakat umum terhadap sejarah demi mencapai kepuasan diri sudah menjadi trend masa kini.
Terlalu ramai yang mahu bicara tentang tragedi berdarah 13 Mei, sibuk mengapikan masyarakat dengan fakta yang tidak diketahui hujung pangkalnya, yang hanya diketahui ialah “orang dulu-dulu berkata…” sudah menjadi satu virus yang tiada ubatnya sehingga ke hari ini.
Tiada pula yang mahu bercerita akan fakta terwujudnya Rukunegara hasil daripada tragedi ini yang kemudiannya menjadi segala pembalut luka sekali gus merawat penuh kesakitan dan kecacatan hasil perperangan ciptaan kita sendiri?
Mengapa yang tragedi itu digembar-gemburkan selalu, manakala kisah indah bermulanya satu titik indah pengharmonian masyarakat Malaysia secara terancang yang akhirnya menghasilkan satu bentuk kejayaan yang menjadi kebanggaan negara di waktu ini dibiarkan sepi?
Kemajuan bidang IT berjaya menghanyutkan sebilangan besar generasi muda kita ke cara hidup yang membinasakan serta dimomokkan dengan sentimen perkauman yang tiada penghujung.
Mengapa kita tidak menggunakan teknologi yang sama sebagai landasan kepada serangan minda dan meniupkan semangat keharmonian kaum di kalangan kita?
Ajarkan mereka mengenai sejarah dengan cara yang lebih interaktif. Biar mereka tahu bahawa di zaman Melaka dahulu masyarakat berbilang kaum dari seluruh dunia pernah hidup aman di bawah satu pemerintahan yang adil dan saksama.
Gunakan laman sosial seperti ‘Facebook’, ‘Twitter’ dan ‘MySpace’ sebagai tempat untuk menyebarkan video-video positif tentang keharmonian antara kaum di negara ini, yang pernah digelar ‘Suvarnabumi’ atau ‘Bumi Emas’ kerana kekayaannya serta kedamaian masyarakat di waktu itu.
Ketengahkan karya-karya video ‘indie’ mereka yang positif terhadap pembinaan bangsa Malaysia. Sebagai contoh, usaha stesen televisyen berbayar Astro melalui saluran 318 saban tahun menayangkan video berteraskan rasa cinta kepada negara dalam bentuk video sebegini memotivasikan anak-anak muda untuk berkarya selari dengan aspirasi negara. Inilah masanya, inilah tempatnya.
Peluang sudah ada, hanya perlu diolah dan diguna sesuai dengan kepesatan teknologi masa kini.
PENDIDIKAN DAN PERPADUAN
Sejarah juga telah membuktikan bahawa permainan adalah salah satu elemen pendidikan yang efektif. Pelbagai nilai kendiri dan budaya seperti kerja berpasukan, saling menghormati dan bertatasusila dapat dipelajari melalui permainan-permainan tradisional.
Di masa kini, anak-anak muda tidak langsung canggung untuk menggunakan alatan-alatan canggih sebagai ‘permainan’ mereka. Buku-buku nota kini diganti dengan ‘iPad’ dan ‘tab’. Belum pun mencapai akil baligh, sudah pandai minta telefon pintar ‘Blackberry’ dan ‘iPhone’ daripada ibu bapa.
Walaupun perkembangan sebegini berkembang pesat di bandar-bandar utama seluruh negara, golongan luar bandar tetap tidak ketinggalan dengan adanya program-program anjuran kerajaan melalui Skim Komputer Riba 1Malaysia.
Satu perkembangan positif yang tidak pernah dijangka ialah, peluang-peluang untuk mencipta perisian-perisian yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar, ‘iPad’ serta komputer riba melalui internet.
Perisian-persian ini biasanya menggunakan elemen hiburan seperti permainan, kuiz-kuiz mudah sehinggalah buku-buku elektronik yang boleh disediakan secara percuma dan jika dipakej dengan menarik, tidak mustahil ia akan dapat menarik minat generasi muda sebagai trend masa kini.
Ini boleh dijadikan landasan baru pendidikan tidak formal dalam usaha menyemai sikap-sikap positif membawa perpaduan di kalangan bakal pewaris negara.
Kerajaan juga telah menyediakan fasiliti-fasiliti serta program-program pembangunan pengusaha perisian tempatan melalui Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC). Jesteru ia perlu digunakan dengan sebaiknya untuk menyebarkan propaganda positif terhadap rakyat di negara ini demi kebaikan negara pada masa akan datang.
PENGURUSAN POLARITI AGAMA DAN BUDAYA
Setiap agama mempunyai satu ciri menarik, iaitu semuanya mengajak para penganutnya ke arah cara hidup yang aman, damai dan harmoni. Tidak ada agama yang dicipta dengan tujuan untuk mencetuskan huru hara, apatah lagi suasana berpecah belah di dalam masyarakat.
Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan lain-lain semuanya tidak menyokong perbuatan-perbuatan seperti rompak, bunuh, curi, rogol, gangsterisma, dan sebagainya malahan mengeji perbuatan-perbuatan tersebut.
Dalam masa yang sama, kesemua agama di atas amat memuji dan menggalakkan perbuatan-perbuatan baik seperti tolong-menolong, mengambil berat sesama ahli masyarakat, serta bersangka baik terhadap setiap orang.
Inilah ramuan rahsia yang menjayakan kehidupan masyarakat berbilang agama di Malaysia dicemburui pelbagai pihak. Budaya suka mencari yang positif sesama kita dan bertoleransi di waktu-waktu sukar menjadikan kita sebagai masyarakat yang dikagumi dan disegani seantero dunia.
Hubungan erat ini wajib didokumenkan dan disimpan sebagai bahan sejarah buat tatapan generasi akan datang. Inovasi penstoran maklumat bergerak pantas pada hari ini dan sebagai sebuah negara yang punya program pembangunan Koridor Super Multimedianya sendiri, kita punya banyak cara untuk melakukannya.
Buktikan kepada generasi akan datang, masjid, tokong, kuil dan gereja yang berjiran antara satu sama lain adalah bukti kesatuan kita yang wajib dijaga dan dipertahankan sampai bila-bila.
LAKUKAN SEBELUM TERLAMBAT
Di sebalik berita-berita baik di atas, jangan lupa bahawa kita masih belum selamat dari tangan-tangan kotor yang sentiasa mahu mencari jalan untuk meruntuhkan negara kita.
Krisis-krisis masyarakat masih belum ada ubatnya. Siapalah yang tahu bilakah akan tiba suatu hari dimana tidak ada jenayah dilaporkan di akhbar. Tidak ada fitnah dicanang di sana sini dan tiada prasangka buruk yang membungkam di hati ahli-ahli masyarakat.
Semua ini tidak mustahil, hanya dengan merendahkan diri dan berfikir dengan minda terbuka, setiap warganegara Malaysia boleh dididik untuk menjadikan kisah perjalanan sejarah negara kita yang kaya dengan kejayaan sebagai satu platform perpaduan.
Negara-negara dunia pertama sudah tersilap langkah. Hasil kemajuan dan inovasi mereka digunakan ke jalan kini memakan diri mereka sendiri.
Suatu masa dahulu, elemen-elemen wajib pasti dalam sesebuah drama atau filem seringkali melibatkan babak kemusnahan insititusi keluarga, keruntuhan moral, mengangkat tinggi perilaku-perilaku jenayah dan mempromosikan unsure seks dan penggunaan dadah.
Kini, elemen-elemen tersebut sudah semakin dipinggirkan, diganti dengan unsur-unsur yang bakal membangun bangsanya serta penciptaan generasi pelapis negara yang bakal mewarisi negara.
Penerapan nilai-nilai kekeluargaan serta nilai-nilai moral yang positif menjadi rencah baru dalam produksi-produksi mereka, tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk memulihkan kembali ‘kerosakan’ yang pernah mereka lakukan dahulu.
Generasi muda kita kini berada di tahap yang sangat membimbangkan. Tak siapa pernah menyangka hanya selepas 54 tahun merdeka, kita tidak lepas dari kisah bayi dilahirkan dalam tandas, sumbang mahram, budaya samseng yang tidak terkawal dan macam-macam lagi.
Inovasi teknologi telah memberi sumbangan besar kepada ketamadunan manusia, termasuk kita. Ia hanyalah sebuah alat yang boleh menjadi baik atau buruk selari dengan kehendak pemiliknya. Gunakanlah landasan ini dengan baik. Jadikan sejarah kita sebagai elemen utama dalam membentuk jati diri bangsa agar sentiasa tahu asal-usulnya, kenal kisah silamnya serta mampu bertindak untuk kebaikan negaranya.
Sama-samalah kita berusaha menjayakannya, semoga dilimpahkan pertolongan oleh Yang Maha Esa.
1663 patah perkataan
Bibliografi: Buku: Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan – Ringkasan Eksklusif, Terbitan: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri. Tarikh Penerbitan: 28 Januari 2010.
—Unquote—
Hope the message has been delivered properly.
TG